Thursday, 31 March 2016

Pisang Salai; Nostalgia dan budaya membentuk saya sebagai seorang manusia yang anda semua kenali.

Saya seorang hamba Allah yang biasa. Tiada yang istimewa tentang saya. Mungkin cara saya melihat dunia, memahami agama dan kecintaan pada seluruh semesta sedikit berbeza. Kalau di England mereka panggil saya 'eccentric'. Apa yang membuat saya teruja dengan kehidupan adalah nostalgia dan asal-usul keluarga. 

Kekadang saya jadi keliru dek berbagai keturunan yang mengalir dalam darah saya. Kawan-kawan kata saya 'banyak cakap macam India', ‘malas macam Melayu’, ‘berkira macam Cina’ (dalam hal perniagaan) dan ‘emo(tional) macam Indon’! 

Itu kata mereka. Saya terima semua tu sebab itulah darah daging saya.

Baru saja saya tahu dalam keturunan kami ada darah Arab juga dari sebelah mak (Mak saya cantik giler macam Seniwati Sarimah waktu muda dulu! Dan masih cantik walaupun kekadang sudah tak berapa sihat sekarang ni). Nanti saya kaji karakter Arab macam mana pula ye? 😂😂😂

Nostalgia dan budaya membentuk saya sebagai seorang manusia yang anda semua kenali. Keagamaan memberi pengertian Yang Maha Suci abadi dalam naluri yang tak perlu di'riak'kan.

Masa kecil dulu saya sering menghabiskan waktu cuti sekolah di kampung, Parit Sempadan, Batu Pahat dengan arwah nenek tiri, arwah atuk, mak dan bapak sedara. Main teng-teng, menuba ikan dan udang mahu pun ke selut laut mencari lokan dan kerang. Selalu dileter arwah nenek kerana takut kami dihanyut keganasan ombak laut atau dimakan buaya semasa menyeberang sungai. Tapi kami degil!

Arwah atuk penggembala lembu dan berbangsa India. Sampai ke akhir hayat, atuk masih bertutur Bahasa Melayu terbalik-bokong macam pendatang India/Pakistan sekarang ni. Saya rindu 'Bahasa Melayu’ atuk.

Untuk menambat hati atuk perempuan (nenek), saya tolong atuk di ladang tomato, cili, kopi, koko atau ke kebun pisang. Pada masa ini kelapa juga diusahakan sebagai sumber pendapatan. Semasa kelapa dikeringkan di bahagian atas dalam bangsal, pisang juga disalai supaya dapat disimpan lama sebagai makanan ringan. 

Bahan api yang digunakan biasanya tempurung kelapa, sabut kelapa dan daun kelapa kering. Sayangnya proses ini tidak lagi diamalkan walau di kampung saya. Namun kecintaan saya pada pisang salai tidak pernah dan tidak akan pupus. Alhamdulillah tradisi masih diteruskan di daerah Air Hitam dan Batu Pahat. 

Untuk pembukaan restoran saya di London dulu, saya menggunakan pisang salai untuk mencipta 'signature dish' saya dalam bentuk aiskrim. Terciptalah Aiskrim Pisang Salai (Smoked Banana Ice Cream) pertama di dunia sekitar tahun 2000. Tiada bahan pengawet digunakan, hanya bahan makanan semulajadi. 

Dua tahun sebelum restoran dibuka, saya sudah mula menyempurnakan ciptaan kecil saya ini. InsyaAllah satu hari nanti saya akan memperkenalkan semula Aiskrim Pisang Salai ni pada anda semua.

Mengapa saya ubah pisang salai kepada aiskrim? Tiada perubahan sebenarnya. Hanya pengaplikasian sesuatu yang tradisi dalam konteks yang lebih dapat 'diterima' (accessible) oleh semua lapisan masyarakat dan bangsa.

Atas dasar konteks yang sama, saya mencipta pula Brownies Pisang Salai untuk kafe terbaru saya yang InsyaAllah akan dibuka tak lama lagi. Proses ini pula saya mulakan pada pertengahan tahun lepas (2015) dan hanya minggu lepas saya berpuas hati dengan hasilnya.

Bebelan saya ini bukan untuk menunjuk pandai, jauh sekali mendabik dada dengan ke'eksentrik'an saya. Hanya sekadar berkongsi 'akidah' kulinari saya. Setiap yang dicipta ada cerita dan setiap yang dibina berdasarkan cinta agar akar umbi bertunas kukuh dengan budaya, juga melodi bangsa. InsyaAllah

-Chef Adu Amran-
instag: @chefaduamran The Canteen by Chef Adu
31032016

No comments:

Post a Comment