Thursday, 21 April 2016

Tanpa pengetahuan dan teknik, lebih-lebih lagi cinta kulinari, ianya tidak akan tercapai.

Brownies Pisang Salai di The Canteen by Chef Adu.
 
Sepanjang perjalanan kulinari saya, seringkali saya memerah otak mencari-cari idea menarik untuk saya realisasikan. Pengilhaman sesuatu yang menarik atau sedikit 'lain daripada yang lain' InsyaAllah dapat saya laksanakan dengan menjunjung tinggi bakat Allah yang saya pinjam.

Usaha dan kajian atau mengimbas kembali nostalgia zaman Kanak-kanak banyak membantu saya. Perbicaraan bersama sesiapa saja dalam kembara nomad saya membuka luas pandangan minda tentang kebudayaan, kulinari dan keagamaan.

Tidak sekali mendabik dada mahupun riak, hanya sekadar berkongsi tentang nurani saya sebagai manusia. Saya seorang yang 'deep' dalam cara saya berfikir. Logik dalam kepercayaan saya kepada Agama, spiritual dalam memujuk jiwa yang kekadang kelam dan suka bermonolog pabila mencipta sesuatu yang kreatif.

Apa jua yang saya ingin sampaikan, 'wajib' berakar umbi, bertujuan, berperasaan dan ada pegangan. Apa yang saya lihat, dengar, sentuh, apatah lagi yang saya cuba sampaikan dalam bentuk kulinari, penceritaan atau sebuah lukisan, adalah nukilan seni mata hati saya.

Saya tidak hanya 'melepas batuk di tangga'. Berkarya sambil lewa atau menggunakan 'nama' yang tidak seberapa.

Pastinya saya mempunyai inspirasi dari insan-insan lain. Mak sebagai guru Masakan Melayu/India saya dan juga Chef seperti Heston Blumenthal yang merupakan idola saya yang terunggul. Pernah saya makan di restorannya 'Fat Duck' di Bray England, bertembung dengannya di London dan menonton penyampaian seni kulinari, cinta, kajian dan semangat jitu beliau di kaca TV.

Saya hanya berupaya menginspirasikan perjalanan kulinari beliau yang saya semaikan dalam perjalanan kulinari saya. Kental dalam 'mengakar-umbikan' inovasi.

Tanpa pengetahuan dan teknik, lebih-lebih lagi cinta kulinari, ianya tidak akan tercapai.

Kembang hati saya jika karya saya pula menyentuh hati insan lain untuk diinspirasikan. Cuma saya harap keikhlasan saya berkongsi diberi sedikit 'pengiktirafan' dengan berkongsi Inspirasi rekaan asal sesuatu ciptaan.

Insya Allah saya akan berkongsi lagi. Jika ianya baik kita sama manfaatkan. Jika perkongsian saya tidak molek di mata minda, sembah maaf saya hulurkan..

No comments:

Post a Comment